KISAH RABIATUL ADAWIAH (Bagian Kedua-Habis)

Suatu masa Rabi’atul-Adawiyyah berpuasa selama lapan hari. Pada hari terakhir, beliau merasa lapar sedikit. Datang seorang hamba Allah membawa minuman yang manis dalam sebuah cawan. Rabi’atul-Adawiyyah ambil minuman itu dan meletakkannya di atas lantai di satu penjuru rumahnya itu. Beliau pun pergi hendak memasang lampu. Datang seekor kucing lalu menumpahkan minuman dalam cawan itu. Melihat itu, terfikirlah Rabi’atul-Adawiyyah hendak minum air sahaja malam itu.

Tatkala ia hendak mencari bekas air (tempayan), lampu pun padam. Bekas air itu jatuh dan pecah airnya bertaburan di atas lantai. Rabi’atul-adawiyyah pun mengeluh sambil berkata, “Tuhanku! Kenapa Kau lakukan begini kepadaku?”
Terdengar suara berkata, “Rabi’atul-Adawiyyah, jika kamu hendakkan kurnia dunia, Aku boleh berikan padamu, tetapi akan menarik balik darimu siksaan dan kesakitan yang Aku beri padamu. Kurnia dunia dan siksaan Aku tidak boleh duduk bersama-sama dalam satu hati. Rabi’atul-Adawiyyah, kamu hendak satu satu perkara dan Aku hendak satu perkara lain. Dua kehendak yang berlainan tidak boleh duduk bersama dalam satu hati.”
Dengan serta-merta beliau pun membuangkan kehendak kepada keperluan hidup ini, seperti orang yang telah tidak berkehendakkan lagi perkara-perkara dunia ini semasa nyawa hendak bercerai dengan badan. Tiap-tiap pagi beliau berdoa, “Tuhan! Penuhilah masaku dengan menyembah dan mengingatMu agar orang lain tidak mengajakku dengan kerja-kerja lain.”
Rabi’atul-Adawiyyah ditanya, “Kenapa kamu sentiasa menangis-nangis?”
Beliau menjawab, “Kerana ubat penyakit ini ialah berdampingan dengan Tuhan.”
“Kenapa kamu memakai pakainan koyak dan kotor?” Beliau ditanya lagi, “Kamu ada kawan yang kaya, dan dia boleh memberimu pakaian baru.” Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Aku berasa malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua yang memiliki segala- galanya.”
Orang berkata, “Rabi’atul-Adawiyyah, Tuhan mengurniakan ilmu dan kenabian kepada lelaki, dan tidak pernah kepada perempuan, tentu kamu tidak dapat mencapai pangkat kewalian yang tinggi itu (kerana perempuan). Oleh itu apakah faedahnya usaha kamu menuju ke taraf tersebut?”
Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Apa yang kamu kata itu benar, tetapi cubalah ketakan kepadaku siapakah perempuannya yang telah mencapai taraf kehampiran dengan Allah dan lalu berkata, “Akulah Yang Hak”. Di samping itu tidak ada orang “kasi” yang perempuan. Hanya didapati dalam kaum lelaki sahaja.”
Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Seorang perempuan yang sentiasa bersembahyang kerana Allah adalah lelaki dan bukan perempuan.”

Satu hari Rabi’atul-Adawiyyah jatuh sakit. Orang bertanya kepadanya sebab ia sakit. Beliau berkata, “Hatiku cenderung hendak mencapai Syurga, satu hari yang lampau. Kerana itu, Allah jatuhkan sakit ini sementara sebagai hukuman.”
Hassan Al-Basri datang berjumpa Rabi’atul-Adawiyyah yang sedang sakit. Di pintu rumah beliau itu, Hassan bertemu dengan Amir Al-Basri yang sedang duduk dengan sebuah beg mengandungi wang. Amir itu menangis. Apabila ditanya kenapa beliau menangis, beliau menjawab, “Aku hendak menghadiahkan wang kepada Rabi’atul-Adawiyyah, tetapi aku tahu dia tidak akan menerimanya. Kerana itulah aku menangis. Bolehkah kamu menjadi pengantara dan meminta dia menerima hadiahku ini?” Hassan pun pergilah membawa wang itu kepada Rabi’atul-Adawiyyah dan meminta beliau menerima wang itu. Tetapi Rabi’atul-Adawiyyah berkata,
“Oleh kerana aku telah kenal Allah, maka aku tidak lagi mahu bersembang dengan manusia dan tidak menerima hadiah dari mereka dan juga tidak mahu memberi apa-apa kepada mereka. Di samping itu aku tidak mahu sama ada wang itu didapatinya secara halal atau haram.”
Sufyan Al-Thauri berkata, “Kenapa kamu tidak memohon kepada Allah untuk menyembuhkan kamu?” Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Kenapa aku merungut pula kerana itu hadiah Allah bagiku. Bukankah salah jika tidak mahu menerima hadiah Tuhan? Adakah bersahabat namanya jika kehendak sahabat itu tidak kita turuti?”
Malik bin Dinar pergi mengunjungi Rabi’atul-adawiyyah satu hari. Dilihatnya dalam rumah Rabi’atul-Adawiyyah satu balang yang pecah dan mengandungi air untuk minum dan mengambil wuduk, satu bata sebagai bantal dan tikar yang buruk sebagai alas tempat tidur. Malik berkata, “Jika kamu izinkan, boleh aku suruh seorang kawanku yang kaya memberimu semua keperluan harian.” Rabi’atul-Adawiyyah menjawab;
“Adakah satu Tuhan yang menanggung aku, dan Tuhan lain pula menanggung kawanmu itu? Jika tidak, adakah Tuhan lupa kepadaku kerana aku miskin dan ingat kepada kawanmu itu kerana ia kaya? Sebenarnya Allah itu tidak lupa kepada siapa pun. Kita tidak perlu memberi ingat kepada Tuhan itu. Dia lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Dia yang memberi kurnia dan Dia juga yang menahan kurnia itu.”
Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Orang yang cinta kepada Allah itu hilang dalam melihat Allah hingga kesedaran kepada yang lain lenyap darinya dan Dia tidak boleh membezakan mana sakit dan mana senang.”
Seorang Wali Allah datang dan merungut tentang dunia. Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Nampaknya kamu sangat cinta kepada dunia, kerana orang yang bercakap tentang sesuatu perkara itu tentulah dia cenderung kepada perkara tersebut.”
Satu hari, Sufyan Al-Thauri pergi berjumpa Rabi’atul-adawiyyah. Rabi’atul-Adawiyyah menghabiskan masa malam itu dengan sembahyang. Apabila sampai pagi, beliau berkata, “Pujian bagi Allah yang telah memberkati kita dapat sembahyang sepanjang malam. Untuk tanda kesyukuran, marilah kita puasa pula sepanjang hari ini.”
Rabi’atul-Adawiyyah selalu berdoa demikian, “Tuhanku! Apa sahaja yang Engkau hendak kurnia kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa sahaja kebaikan yang Engkau hendak kurnia kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang berIman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat Syurga atau Neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja.”

Sufyan Al -Thauri menghabiskan masa sepanjang malam bercakap-cakap tentang ibadat kepada Allah dengan Rabi’atul-Adawiyyah. Di pagi hari Al-Thauri berkata, “Kita telah menghabiskan masa malam tadi dengan sebaik-baiknya.” Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Tidak, kita habiskan masa dengan sia-sia kerana sepanjang percakapan itu kamu berkata perkara-perkara yang memuaskan hatiku sahaja dan aku pula memikirkan perkara yang kamu sukai pula. Masa itu kita buang tanpa mengenang Allah. Adalah lebih baik jika aku duduk seorang diri dan menghabiskan masa malam itu dengan mengenang Allah.”
Rabi’atul-Adawiyyah berkata;
“Doaku padaMu ialah sepanjang hayatku berilah aku dapat mengingatMu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandangMu.”


Tidak ada komentar:

Posting Komentar