Rabia’atul-Adawiyyah adalah orang miskin. Hinggakan dalam rumah
mereka tidak ada minyak untuk memasang lampu dan tidak ada kain untuk
membalut badan beliau. Beliau ialah anak yang keempat. Ibunya menyuruh
ayahnya meminjam minyak dari jiran. tetapi bapa beliau telah membuat
keputusan tidak akan meminta kepada sesiapa kecuali kepada Allah. Bapa
itu pun pergilah berpura-pura ke rumah jiran dan perlahan-lahan mengetuk
pintu rumah itu agar tidak didengar oleh orang dalam rumah itu.
Kemudian dia pun pulang dengan tangan kosong. Katanya orang dalam rumah
itu tidak mahu membuka pintu. Pada malam itu si bapa bermimpi yang ia bertemu dengan Nabi. Nabi berkata kepadanya,
“Anak perempuanmu yang baru lahir itu adalah seorang yang
dikasihi Allah dan akan memimpin banyak orang Islam ke jalan yang benar.
Kamu hendaklah pergi berjumpa Amir Basrah dan beri dia sepucuk surat
yang bertulis – kamu hendaklah berselawat kepada Nabi seratus kali
tiap-tiap malam dan empat ratus kali tiap-tiap malam Jumaat. Tetapi oleh
kerana kamu tidak mematuhi peraturan pada hari Khamis sudah, maka
sebagai dendanya kamu hendaklah membayar kepada pembawa surat ini empat
ratus dinar.”
Bapa Rabi’atul-Adawiyyah pun terus terjaga dari tidur dan pergi
berjumpa dengan Amir tersebut, dengan air mata kesukaan mengalir di
pipinya. Amir sungguh berasa gembira membaca surat itu dan faham bahawa
beliau ada dalam perhatian Nabi. Amir pun memberi sedekah kepada fakir
miskin sebanyak seribu dinar dan dengan gembira memberi bapa
Rabi’atul-Adawiyyah sebanyak empat ratus dinar. Amir itu meminta supaya
bapa Rabi’atul-adawiyyah selalu mengunjungi beliau apabila hendakkan
sesuatu kerana beliau sungguh berasa bertuah dengan kedatangan orang
yang hampir dengan Allah.
Selepas bapanya meninggal dunia, Basrah dilanda oleh kebuluran.
Rabi’atul-adawiyyah berpisah dari adik-beradiknya. Suatu ketika kafilah
yang beliau tumpangi itu telah diserang oleh penyamun. Ketua penyamun
itu menangkap Rabi’atul-Adawiyyah untuk dijadikan barang rampasan untuk
dijual ke pasar sebagai abdi. Maka lepaslah ia ke tangan tuan yang baru. Suatu hari, tatkala beliau pergi ke satu tempat atas suruhan tuannya,
beliau telah dikejar oleh orang jahat. Beliau lari. Tetapi malang,
kakinya tergelincir dan jatuh. Tangannya patah. Beliau berdoa kepada
Allah,
“Ya Allah! Aku ini orang yatim dan abdi. Sekarang tanganku pula
patah. tetapi aku tidak peduli segala itu asalkan Kau redho denganku.
tetapi nyatakanlah keridhoanMu itu padaku.”
Tatkala itu terdengarlah suatu suara,
“Tak mengapa semua penderitaanmu itu. Di hari akhirat kelak kamu akan
ditempatkan di peringkat yang tinggi hinggakan Malaikat pun kehairanan
melihatmu.”
Kemudian pergilah ia semula kepada tuannya. Selepas peristiwa itu,
tiap-tiap malam ia menghabiskan masa dengan beribadat kepada Allah,
selepas melakukan kerja-kerjanya. Beliau berpuasa berhari-hari.
Suatu hari, tuannya terdengar suara rayuan Rabi’atul-Adawiyyah di tengah malam yang berdoa kepada Allah;
“Tuhanku! Engkau lebih tahu bagaimana aku cenderung benar hendak
melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh
jiwa, wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku habiskan seluruh masa
malam dan siang dengan melakukan ibadat kepadaMu. tetapi apa yang boleh
aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”
Dilihat oleh tuannya itu suatu pelita yang bercahaya terang
tergantung di awang-awangan, dalam bilik Rabi’atul-Adawiyyah itu, dan
cahaya itu meliputi seluruh biliknya. Sebentar itu juga tuannya berasa
adalah berdosa jika tidak membebaskan orang yang begitu hampir dengan
Tuhannya. sebaliknya tuan itu pula ingin menjadi khadam kepada
Rabi’atul-adawiyyah.
Esoknya, Rabi’atul-Adawiyyah pun dipanggil oleh tuannya dan
diberitahunya tentang keputusannya hendak menjadi khadam itu dan
Rabi’atul-adawiyyah bolehlah menjadi tuan rumah atau pun jika ia tidak
sudi bolehlah ia meninggalkan rumah itu. Rabi’atul-Adawiyyah berkata
bahawa ia ingin mengasingkan dirinya dan meninggalkan rumah itu. Tuannya
bersetuju. Rabi’atul-Adawiyyah pun pergi.
Suatu masa Rabi’atul-Adawiyyah pergi naik haji ke Mekkah. Dibawanya
barang-barangnya atas seekor keldai yang telah tua. Keldai itu mati di
tengah jalan. Rakan-rakannya bersetuju hendak membawa barang -barangnya
itu tetapi beliau enggan kerana katanya dia naik haji bukan di bawah
perlindungan sesiapa. Hanya perlindungan Allah S.W.T. Beliau pun tinggal
seorang diri di situ. Rabi’atul-Adawiyyah terus berdoa,
“Oh Tuhan sekalian alam, aku ini keseorangan, lemah dan tidak
berdaya. Engkau juga yang menyuruhku pergi mengunjungi Ka’abah dan
sekarang Engkau matikan keldaiku dan membiarkan aku keseorangan di
tengah jalan.”
Serta-merta dengan tidak disangka-sangka keldai itu pun hidup semula.
Diletaknya barang-barangnya di atas keldai itu dan terus menuju Mekkah.
Apabila hampir ke Ka’abah, beliau pun duduk dan berdoa,
“Aku ini hanya sekepal tanah dan Ka’abah itu rumah yang kuat. Maksudku ialah Engkau temui aku sebarang perantaraan.”
Terdengar suara berkata, “Rabi’atul-Adawiyyah, patutkah Aku
tunggangbalikkan dunia ini kerana mu agar darah semua makhluk ini
direkodkan dalam namamu dalam suratan takdir? Tidakkah kamu tahu Nabi
Musa pun ada hendak melihatKu? Aku sinarkan cahayaKu sedikit sahaja dan
dia jatuh pengsan dan Gunung Sinai runtuh menjadi tanah hitam.”
Suatu ketika yang lain, semasa Rabi’atul-Adawiyyah menuju Ka’abah dan
sedang melalui hutan, dilihatnya Ka’abah datang mempelawanya.
Melihatkan itu, beliau berkata,
“Apa hendakku buat dengan Ka’abah ini; aku hendak bertemu dengan
tuan Ka’abah (Allah) itu sendiri. Bukankah Allah juga berfirman iaitu
orang yang selangkah menuju Dia, maka Dia akan menuju orang itu dengan
tujuh langkah? Aku tidak mahu hanya melihat Ka’abah, aku mahu Allah.”
Pada masa itu juga, Ibrahim Adham sedang dalam perjalanan ke Ka’abah.
Sudah menjadi amalan beliau mengerjakan sembahyang pada setiap langkah
dalam perjalanan itu. Maka oleh itu, beliau mengambil masa empat belas
tahun baru sampai ke Ka’bah. Apabila sampai didapatinya Ka’abah tidak
ada. Beliau sangat merasa hampa. Terdengar olehnya satu suara yang
berkata,
“Ka’abah itu telah pergi melawat Rabi’atul -Adawiyyah.”
Apabila Ka’bah itu telah kembali ke tempatnya dan Rabi’atul-Adawiyyah
sedang menongkat badannya yang tua itu kepada kepada tongkatnya, maka
Ibrahim Adham pun pergi bertemu dengan Rabi’atul-Adawiyyah dan berkata;
“Rabi’atul-adawiyyah, kenapa kamu dengan perbuatanmu yang yang ganjil itu membuat haru-biru di dunia ini?”
Rabi’atul-Adawiyyah menjawab;
“Saya tidak membuat satu apa pun sedemikian itu, tetapi kamu
dengan sikap ria (untul mendapat publisiti) pergi ke Ka’abah mengambil
masa empat belas tahun.”
Ibrahim mengaku yang ia sembahyang setiap langkah dalam perjalanannya. Rabi’atul-Adawiyyah berkata,
“Kamu isi perjalananmu itu dengan sembahyang, tetapi aku mengisinya dengan perasaan tawaduk dan khusyuk.”
Tahun kemudiannya, lagi sekali Rabi’atul-Adawiyyah pergi ke Ka’abah. Beliau berdoa;
“Oh Tuhan! Perlihatkanlah diriMu padaku.”
Beliau pun berguling-guling di atas tanah dalam perjalanan itu. Terdengar suara;
“Rabi’atul-Adawiyyah, hati-hatilah, jika Aku perlihatkan diriKu kepadamu, kamu akan jadi abu.”
Rabi’atul-Adawiyyah menjawab,
“Aku tidak berdaya memandang Keagungan dan KebesaranMu, kurniakanlah kepadaku kefakiran (zahid) yang mulia di sisiMu.”
Terdengar lagi suara berkata, “Kamu tidak sesuai dengan itu.
Kemuliaan seperti itu dikhaskan untuk lelaki yang memfanakan diri mereka
semasa hidup mereka kerana Aku dan antara mereka dan Aku tidak ada
regang walau sebesar rambut pun, Aku bawa orang-orang demikian sangat
hampir kepadaKu dan kemudian Aku jauhkan mereka, apabila mereka berusaha
untuk mencapai Aku. Rabi’atul-adawiyyah, antara kamu dan Aku ada lagi
tujuh puluh hijab atau tirai. Hijab ini mestilah dibuang dulu dan
kemudian dengan hati yang suci berhadaplah kepadaKu. Sia-sia sahaja kamu
meminta pangkat fakir dari Aku.”
Kemudian suara itu menyuruh Rabi’atul-Adawiyyah melihat ke hadapan.
Dilihatnya semua pandangan telah berubah. Dilihatnya perkara yang luar
biasa. Di awang-awangan ternampak lautan darah yang berombak kencang.
Terdengar suara lagi, “Rabi’atul-Adawiyyah, inilah darah yang mengalir dari mata mereka
yang mencintai Kami (Tuhan) dan tidak mahu berpisah dengan Kami.
Meskipun mereka dicuba dan diduga, namun mereka tidak berganjak seinci
pun dari jalan Kami dan tidak pula meminta sesuatu dari Kami. Dalam
langkah permulaan dalam perjalanan itu, mereka mengatasi semua nafsu dan
cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka beruzlah
(memencilkan diri) dari dunia hingga tidak ada sesiapa yang mengetahui
mereka. Begitulah mereka itu tidak mahu publisiti (disebarkan kepada
umum) dalam dunia ini.” Mendengar itu, Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Tuhanku! Biarkan aku tinggal di Ka’abah.” Ini
pun tidak diberi kepada beliau. Beliau dibenarkan kembali ke Basrah dan
menghabiskan umurnya di situ dengan sembahyang dan memencilkan diri
dari orang ramai.
Suatu hari Rabi’atul-Adawiyyah sedang duduk di rumahnya menunggu
ketibaan seorang darwisy untuk makan bersamanya dengan maksud untuk
melayan darwisy itu, Rabi’atul-Adawiyyah meletakkan dua buku roti yang
dibuatnya itu di hadapan darwisy itu. Darwisy itu terkejut kerana tidak
ada lagi makanan untuk Rabi’atul-Adawiyyah. Tidak lama kemudian,
dilihatnya seorang perempuan membawa sehidang roti dan memberinya kepada
Rabi’atul-Adawiyyah menyatakan tuannya menyuruh dia membawa roti itu
kepada Rabi’atul-Adawiyyah. Rabi’atul-Adawiyyah bertanya berapa ketul
roti yang dibawanya itu. Perempuan itu menjawab, “Lapan belas.”
Rabi’atul-Adawiyyah tidak mahu menerima roti itu dan disuruhnya
kembalikan kepada tuannya. Perempuan itu pergi. Kemudian datang semula. Rabi’atul-Adawiyyah menerima roti itu selepas
diberitahu bahawa ada dua puluh ketul roti dibawa perempuan itu.
Darwisy itu bertanya kenapa Rabi’atul-Adawiyyah enggan menerima dan
kemudian menerima pula. Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Allah berfirman
dalam Al-Quran iaitu : “Orang yang memberi dengan nama Allah maka Dia akan beri ganjaran sepuluh kali ganda. Oleh itu, saya terima hadiah apabila suruhan dalam Al-Quran itu dilaksanakan.”
Suatu hari Rabi’atul-Adawiyyah sedang menyediakan makanan. Beliau
teringat yang beliau tidak ada sayur. Tiba-tiba jatuh bawang dari
bumbung. Disepaknya bawang itu sambil berkata, “Syaitan! Pergi
jahanam dengan tipu-helahmu. Adakah Allah mempunyai kedai bawang?”
Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Aku tidak pernah meminta dari sesiapa
kecuali dari Allah dan aku tidak terima sesuatu melainkan dari Allah.”
Suatu hari, Hassan Al-Basri melihat Rabi’atul-Adawiyyah dikelilingi
oleh binatang liar yang memandangnya dengan kasih sayang. Bila Hassan
Al-Basri pergi menujunya, binatang itu lari. Hassan bertanya, “Kenapa
binatang itu lari?” Sebagai jawapan, Rabi’atul-adawiyyah bertanya, “Apa
kamu makan hari ini?” Hassan menjawab, “Daging.” Rabi’atul- Adawiyyah
berkata, Oleh kerana kamu makan daging, mereka pun lari, aku hanya
memakan roti kering.”
Suatu hari Rabi’atul-Adawiyyah pergi berjumpa Hassan Al-Basri. Beliau
sedang menangis terisak-isak kerana bercerai (lupa) kepada Allah. Oleh
kerana hebatnya tangisan beliau itu, hingga air matanya mengalir
dilongkang rumahnya. Melihatkan itu, Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Janganlah
tunjukkan perasaan sedemikian ini supaya batinmu penuh dengan cinta
Allah dan hatimu tenggelam dalamnya dan kamu tidak akan mendapati di
mana tempatnya.”
Dengan penuh kehendak untuk mendapat publisiti, suatu hari, Hassan
yang sedang melihat Rabi’atul-Adawiyyah dalam satu perhimpunan Aulia’
Allah, terus pergi bertemu dengan Rabi’atul-Adawiyyah dan berkata,
“Rabi’atul-adawiyyah, marilah kita meninggalkan perhimpunan ini dan
marilah kita duduk di atas air tasik sana dan berbincang hal-hal
keruhanian di sana.”
Beliau berkata dengan niat hendak menunjukkan keramatnya kepada orang
lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa a.s. boleh berjalan
di atas air). Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Hassan, buangkanlah perkara
yang sia-sia itu. Jika kamu hendak benar memisahkan diri dari
perhimpunan Aulia’ Allah, maka kenapa kita tidak terbang sahaja dan
berbincang di udara?” Rabi’atul-adawiyyah berkata bergini kerana beliau
ada kuasa berbuat demikian tetapi Hassan tidak ada berkuasa seperti itu.
Hassan meminta maaf. Rabi’atul-Adawiyyah berkata, “Ketahuilah
bahawa apa yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan jika aku boleh
terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara
yang luarbiasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan-santun
terhadap Allah.”
Seorang hamba Allah bertanya kepada Rabi’atul-Adawiyyah tentang
perkara kahwin. Beliau menjawab, “Orang yang berkahwin itu ialah orang
yang ada dirinya. Tetapi aku bukan menguasai badan dan nyawaku sendiri.
Aku ini kepunyaan Tuhanku. Pintalah kepada Allah jika mahu mengahwini
aku.”
Hassan Al-Basri bertanya kepada Rabi’atul-Adawiyyah bagaiman beliau
mencapai taraf keruhanian yang tinggi itu. Rabi’atul-adawiyyah menjawab,
“Aku hilang (fana) dalam mengenang Allah.”
Beliau ditanya, “Dari mana kamu datang?”
Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Aku datang dari Allah dan kembali kepada Allah.”
Rabi’atul-Adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad
S.A.W. Dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah
mengingatnya sebagai sahabat. Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Siapa
yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah
telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu
atau benci kepada syaitan.”
Orang bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah, “Adakah kamu lihat Tuhan yang kamu sembah itu?
Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Jika aku tidak lihat Dia, aku tidak akan menyembahNya.”
Rabi’atul-Adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Orang bertanya
kepadanya sebab beliau menangis. Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Aku
takit berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup
tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan
nafas terakhir – jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di
majlisKu.”
Allah suka dengan hambaNya yang bersyukur apabila ia berusaha
sepertimana ia bersyukur tatkala menerima kurniaNya (iaitu ia menyedari
yang ia tidak sanggup berusaha untuk Allah tanpa pertolongan dan
kurniaan Allah).
Seorang bertanya kepada Rabi’atul-Adawiyyah, “Adakah Allah menerima taubat orang yang membuat dosa?”
Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Itu hanya apabila Allah
Mengurniakan kuasaNya kepada pembuat dosa itu yang ia digesa untuk
mengakui dosanya dan ingin bertaubat. Hanya dengan itu Allah akan
menerima taubatnya kerana dosa yang telah dilakukannya.”
Sholeh Al-Qazwini selalu mengajar muridnya, “Siapa yang selalu
mengetuk pintu rumah seseorang akhirnya satu hari pintu itu pasti akan
dibuka untuknya.” Satu hari Rabi’atul-Adawiyyah mendengar beliau
bercakap demikian. Rabi’atul-adawiyyah pun berkata kepada Sholeh, “Berapa
lama kamu hendak berkata demikian menggunakan perkataan untuk masa
depan (Futuretense) iaitu “Akan dibuka”? Adakah pintu itu pernah
ditutup? Pintu itu sentiasa terbuka.” Sholeh mengakui kebenarannya itu.
Seorang hamba Allah berteriak, “Aduh sakitnya!” Rabi’atul-Adawiyyah
bertemu dengan orang itu dan berkata, “Oh! bukannya sakit.” Orang itu
bertanya kenapa beliau berkata begitu. Rabi’atul-Adawiyyah menjawab, “Kerana sakit itu adalah satu nikmat bagi orang yang sangat mulia di sisi Allah. Mereka merasa seronok menanggung sakit itu.”
Suatu hari rabi’atul-adawiyyah sedang melihat orang sedang berjalan
dengan kepalanya berbalut. Beliau bertanya kenapa kepalanya dibalut.
Orang itu menjawab mengatakan ia sakit kepala. Rabi’atul-Adawiyyah
bertanya, “Berapa umurmu?” Jawab orang itu, “Tiga puluh.”
Rabi’atul-Adawiyyah bertanya lagi, “Hingga hari ini begaimana
keadaanmu?” Kata orang itu, “Sihat-sihat sahaja.” Rabi’atul-Adawiyyah
pula berkata, “Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan kamu,
tetapi kamu tidak mengibarkan bendera pada badanmu untuk menunjukkan
kesyukuran kepada Allah, dan agar manusia bertanya kenapa kamu gembira
sekali dan setelah mengetahui kurniaan Tuhan kepadamu, mereka akan
memuji Allah. Sebaliknya kamu, setelah mendapat sakit sedikit, membalut
kepalamu dan pergi ke sana ke mari menunjukkan sakitmu dan kekasaran
Tuhan terhadapmu. Kenapa kamu berlaku sehina itu!”
Suatu hari khadamnya berkata, “Puan, keluarlah dan mari kita melihat
keindahan kejadian Tuhan di musim bunga ini.’ Rabi’atul-Adawiyyah
menjawab, “Duduklah dalam rumah seperti aku berseorangan dan melihat yang menjadikan. Aku lihat Dia dan bukan kejadianNya.”
Suatu hari, orang bertanya kepada Rabi’atul-Adawiyyah kenapa beliau tidak menyimpan pisau dalam rumahnya. Beliau menjawab, “Memotong itu adalah kerja pisau. Aku takut pisau itu akan memotong pertalian aku dengan Allah yang ku cintai.”
(bersambung....)
(bersambung....)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar